Friday, July 27, 2007

Selamat Menyambut Hari Pahlawan dan Hari Merdeka.

Teks khutbah Jumaat minggu ini yang dibaca khatib antara lain memperingat Hari Pahlawan ia itu pada 31 Julai 2007. Jasa mereka yang berkorban dan terkorban kerana negara dan bangsa jangan dilupakan. Hulurlah bantuan kepada bekas perajurit dan keluarga mereka yang masih hidup dalam kesempitan. Kita bersyukur dapat hidup senang lenang. Kadang kadang terlupa akan sumbangan perajurit terhadap keamanan negara. Memanglah perajurit sekarang ini ashik gilap kasut, berkawat, makan tidur saja dan dapat gaji tiap tiap bulan. Ada pula dikhaskan hari Rabu untuk

bersukan dan beriadah, dah banyak relek sekarang ni. Tapi bila tiba masa kecemasan kepada merekalah juga tempat kita minta berlindung.







Kemudian sebulan selepas tu kita menyambut pula hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2007. Saya berumur 8 tahun dan tak pernah ingat saat saat menyambut kemerdekaan. Maklumlah anak kepada pendatang tanpa izin pada ketika itu, mana nak ambil kisah pasal kemerdekaan, lagi pun mass media zaman tu, jarang jarang ada. Tapi isteri saya masih ingat detik detik tersebut kerana ibu bapanya orang kuat Umno. Dari Gurun depa pi sambut merdeka di padang bola pekan Bedung.

Perkataan merdeka ni saya ingat ketika mandi di terusan Mat Saman berhadapan rumah. Bila truck askar lalu saja nanti kami laung MERDEKA!! Komboi askar akan campakkan lebihan ration makanan mereka kedalam sungai maka berebut rebutlah kami mendapatkannya. Dapat gula gula, beras dan kadang kadang dapur untuk memasak. Itulah makna merdeka kepada kami diwaktu itu. Dah tua tua macam sekarang ni pun masih tak berapa nak faham dengan kemerdekaan, ialah yang sebetulnya siapa lagi yang terlibat secara langsung dengan perjuangan menuntut kemerdekaan. Orang gomen kata geng geng depa, yang tak sehaluan depa buat buat tak ingat.

Walau bagaimana pun kita semua kenalah patriotik, banyak negara bertumpah darah menuntut kemerdekaan, kita taklah berparang bergolok kerananya.

Selamat menyambut Hari Pahlawan dan Hari Merdeka. MERDEKA!! MERDEKA!!
MERDEKA!!

No comments: