Thursday, June 28, 2007

Sikap Buruk Ketika Berjemaah Di Masjid

Solat Jumaat selalunya penuh dengan jemaah entah dari mana datangnya. Kecil besar tua dan muda baru nampak muka. Hinggakan iman bercerita bahawa ia terserempak dengan saorang yang menetap di taman yang sama dengannya ;

Imam: ana tinggal lorong berapa?

Hamba Allah: lorong sekian sekian,

Imam: selalu ke masjid?

Hamba Allah: cuma solat Jumaat, yang lain solat di rumah saja,

Imam: siapa imam di situ?

Hamba Allah: entah! Imam pun jarang nampak!

Imam: mashaallah!!!

Bila dah masuk masjid semuanya akan tertumpu di saf yang berdekatan dengan pintu masuk, maka banyaklah tempat kosong di hadapan. Yang datang kemudian terpaksa tercegat dipintu, tunggu waktu masuk sembahyang, baru dapat bergerak kehadapan. Begitulah agaknya budaya kita, tempat tempat dihadapan majlis saolah olah dikhaskan pada pembesar pembesar dan dif dif jemputan atau kalau di masjid hanya pada mereka yang berserban sahaja. Tapi ada juga jenis yang senang nak belah awal.

Saya pula ada satu tabi’at buruk, bila dah selalu kemasjid tu bolih kata kenal dengan majoriti jemaah yang datang, nama tak kenal, pakai senyum atau angkat tangan saja. Malu nak tanya nama, susah susah panggil saja; “ assalammualaikum Haji”.

Tabi’at buruk ialah memilih jemaah yang ngam dengan saya. Pantang duduk dengan jemaah yang berkelakuan berikut;

1. baca kuat,

2. belahak atau sendawa yang berlarutan,

3. bersin tanpa usaha menutup mulut,

4. bila selsema, kesat hingus dengan tangan sahaja,

5. nafas atau mulut berbau (baru makan petai atau durian),

6. badan tengit atau pakai minyak atar murahan yang berlebihan,

7. menarik jiran untuk merapatkan saf,

8. bersesak dalam saf walaupun dah padat, hingga nak duduk tahyat pun susah,

9. sujud terlalu lama di tahyat akhir, mengganggu konsentrasi.

Bagaimana pun saya cuba sedaya yang bolih agar dapat menerima perlakuan yang disebutkan, kerana ini merupakan satu penyakit hati yang mungkin memakan ibadah yang saya lakukan.

Insha Allah.

Sunday, June 17, 2007

Seriuskah Kita Membangun Umah Melalui Institusi Masjid

Dato’ Seri Najib dalam konvensyen bersama lebih kurang 3,000 imam dari seluruh negara di Bangi Selangor, memperingati peranan yang bolih dimainkan olih pentadbir dan imam terhadap pembangunan umah. Memberi peringatan agar pentadbir masjid yang berjumlah 6,000 buah agar menjadikannya sebagai institusi menggerak percambahan pengetahuan dan juga menjalin silaturrahim di kalangan masyarakat Islam.

Masjid yang terletak di kawasan stratergik, bolih dibangunkan kedai kedai untuk tujuan perniagaan. Hasil sewaan menjadi sumber kewangan yang bolih digunakan untuk pembangunan seterusnya. Pembangunan fizikal ini agak mudah di bandingkan dengan pembangunan insan dan mental.
Semasa Tan Seri Sanusi Junid menjadi Menteri Pertanian, beliau selalu saran di wujudkan perpustakaan di masjid masjid bagi tujuan menyemarakannya. Tetapi selepas dua puluh tahun berlalu saranan tersebut masih belum ada kenyataan.

Kegagalan insipirasi yang dinyatakan olih TPM dan lain lain pembesar kerajaan itu hendaklah di lihat dari aspek kemampuan pentadbir masjid itu sendiri. Rata rata pengurusannya di tadbir olih jawatankuasa yang di lantik olih kariah. Kebanyakan ahli terdiri dari mereka yang sudah pencen dan gulungan usia yang melebihi enam puluh tahun keatas. Visi pembangunan masa depan untuk memakmurkan masjid atau kebajikan umah mungkin tidak terlintas dalam pemikiran mereka. Kalau ada pun tenaga tidak terdaya untuk melalui proses menjayakannya. Apa yang mampu diperbuat ialah aktiviti rutin sahaja seperti menjaga kebersihan, tazkirah untuk yang berjamaah, dan persediaan perayaan perayaan yang disambut setahun sekali.

Untuk tujuan membangun umat Islam dengan serius, melalui institusi masjid yang bercambah di ceruk pelusuk Malaysia ini, pada pandangan saya pihak kerajaan dicadangkan memberi perhatian terhadap perkara perkara berikut:

1. wujudkan pegawai yang bertauliah menerajui pembangunan kearah aspirasi kerajaan,

2. pegawai tersebut dipantau olih Jabatan Agama Negeri masing masing,

3. peruntukan kewangan dibajet olih Jabatan Agama,

4. semua projek pembangunan wajib ada ‘feasibility studies’ sebelum diluluskan.

Dengan demikian barulah ada motivasi. Masjid tidak hanya mengharapkan kutipan wang bila jemaah datang berjumaat. Wang yang terkumpul cukup untuk bayar bil air dan api sahaja. Kalau tidak, bolih cakap dan kempen sahajalah kepada imam dan pentadbir yang secara tak langsung majoritinya dianggap bukan penyokong kerajaan.

Monday, June 11, 2007

Banjir dan Perancangan Yang Tak SMART

Tazkirah semalam bertajuk ‘tanggung jawab saorang muslim ke atas muslimin dan jiran tetangganya’.Dalam mukadimah, ustaz memaklumkan bahawa hujan lebat semalam menyebabkan rumahnya dibanjiri air sedalam 2 kaki. Olih kerana penghuni rumah sibuk memindah barangan masing masing, maka tiada bantuan dapat dihulurkan kepada jiran jiran. Begitulah kuasa Ilahi, tiada sesiapa dapat menandingiNya.

Walaupun kata Ketua Pengarah Jabatan Perparitan dan Saliran, Datuk Paduka Keizul Abdullah, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.1 bil. untuk mengatasi masalah banjir di Kuala Lumpur.

Sebagai mana hebatnya perancangan manusia, hebat lagi perancangan yang ditetapkan Allah Taala. Pembangunan begitu rancak di persekitaran Kuala Lumpur tetapi perancang bandar lalai pula menghadapi sistem saliran dan perparitan yang menandinginya.

Sudah menjadi adat manusia tidak mahu menerima kelemahan, disalahkan rakyat kerana gagal menjaga kebersihan longkang dan perparitan. Banjir kilat yang melanda bandar adalah disebabkan olih longkang dan parit yang tersumbat, bukannya otak perancang yang tersumbat. Entah apa pula alasan bila SMART dah beroperasi dan banjir masi lagi berlaku? Separuh jawapan telah pun di beri!

Ustaz terus menyambung tazkirahnya.................................

Thursday, June 7, 2007

Kebersihan - Sistem Peradaban Dan Ibadah Dalam Islam

Dalam perjalanan dari Kuala Lipis Pahang Darul Makmur ke Kuala Lumpur, sempat saya melihat pemandangan beberapa tanah perkuburan Cina dan orang Islam di tepian jalan. Dari aspek kebersihan kawasan, perbezaan amatlah terserlah dan memalukan umat Islam.

Maka teringat saya satu pagi melihat program ‘Bersama Mufti’ dengan Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin. Pada pagi tersebut beliau berbicara mengenai kebersihan, terutama di kawasan dan tandas yang terdapat di masjid masjid umat Islam. Perkara ini bukanlah perkara baru, bahkan berbuih mulut ustaz ustaz menyuarakan, tetapi kemajuan amat lembab. Isu ini perlukan tindakan yang ‘drastic’ jika ingin melihat perubahan. Mungkin kerajaan negeri, menerusi Jabatan Agama dapat merangka satu arahan dan tindakan yang serius, buka sekadar ‘mendengar telinga kiri dan keluar telinga kanan’ atau sebaliknya.

Begitulah juga keadaan kebersihan yang sangat parah di kebanyakan tanah perkuburan orang Islam, terutama di luar bandar, saolah olah di sengajakan berkeadaan demikian. Walaupun kita dinasihati jangan mencabut rumput rumput di pusara, kerana melaluinya mendatangkan rahmat kepada penghuni kubur, tapi janganlah ia menjadi hutan yang menakutkan. Orang Islam perlu anjakan budaya supaya kita tidak dipandang lekeh. Lihat sajalah perkuburan orang Kristian dan orang Cina, mereka berusaha menjadikan tanah perkuburan sebagai satu taman, senang mata orang yang hidup memandang. Ini tidak, sebut saja hal kubur, orang dewasa pun seram nak berkunjung, apatah lagi kanak kanak yang dah akal baligh.

Mungkin masalah yang di hadapi olih kariah kariah masjid ialah ketiadaan pasukan yang mengurusnya. Kebanyakan tanah perkuburan adalah merupakan tanah wakaf dan urusan penyediaan mayat adalah bidang tugas jawatankuasa masjid, yang tidak ada ‘motivation’ untuk mengurus lebih pada itu. Janganlah diingatkan “ biarlah, mereka dah mati”, kerana masalahnya ialah ‘image’ Islam kita tercemar walaupun belum ada sesiapa yang menegur.

Olih yang demikian, Jabatan Agama perlu wujudkan program untuk meningkatkan ‘image’ Islam menerusi kebersihan umatnya. Umat Melayu perlu di paksa, tidak cukup sekadar seruan. Sebagai contoh sistem pengurusan perkuburan di masjid Al Bukhari di Alor Star bolih di jadikan model. Memang benar usaha ini memerlukan kewangan, mana ada benda ‘free’ dalam dunia ini. Negara kita kan kaya dan makmur, Jabatan bolih rangka peruntukan dari Kementrian Kewangan ataupun dari dana Baitul Mal. Biarlah Islam di lihat comel ‘dalam dan luar’.

Wallahihuallam!!

Friday, June 1, 2007

Mempercayai Al Quran Adalah Salah Satu Rukun Iman

Memang risau bila sentuh isu Lina Joy ini kerana terlalu sensitif, tetapi keputusan permohonannya dah di ketahui. Ada pihak yang tak setuju, dan jika ia berpihak kepada Lina pun banyak juga orang tak bersetuju. Maka kenalah akur dengan keputusan mahkamah.

Mengenai perkara yang sama, sempat saya ikuti blog Rantings by MM dimana beliau menyiarkan artikel 'Do we believe in Quran?' Dan juga meneliti artikel olih Sheikh Sami al Majid, yang dirujuk olih Marina. Saya tak hendak komen apa apa tapi saya rujukan pula artikel olih Ust. Zaharudin untuk Marina pula menelitinya. Kerana terkilas ikan di air dah tahu isi hati kalbu Marina.

Petikannya mengenai isu ini:

Hukum bunuh ke atas si murtad adalah bertentangan dengan prinsip tiada paksaan dalam agama (al-Din) yang dianjurkan oleh al-Quran dalam Surah al-Baqarah: 256. Kata mereka, walaupun ayat ini turun berkaitan dengan perbuatan memaksa orang kafir memeluk Islam, tetapi kaedah dalam memahami al-Quran ialah "ayat-ayat yang menggunakan lafaz umum, maka hukumnya jatuh kepada umum walaupun sebab turun ayat adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang khusus" (al-`ibrah bi `umum al-lafzi la bi khusus al-sabab).

Ulasan:

Sebenarnya tiada apa-apa percanggahan antara kehendak ayat di atas dengan kehendak hadis-hadis sahih yang memerintahkan hukuman bunuh si murtad. Ini kerana ayat di atas adalah khusus untuk memberitahu bahawa tiada dan tidak boleh memaksa seseorang yang belum Islam agar memeluk Islam. Buktinya, perkataan `al-Din' itu adalah merujuk kepada Islam sahaja dan bukan kepada agama-agama lain yang dikenali di dunia hari ini. Ini berdasarkan bahawa `al-Din' yang sebenar dan satu-satunya diiktiraf oleh Allah ialah Islam, dan kepercayaan yang selainnya tidak dinamakan `al-Din'. (Lihat Surah Ali `Imran:19 dan 85) Perlu disebut bahawa hampir semua perkataan `al-Din' dalam al-Quran merujuk kepada `Islam' yang dibawa oleh para nabi a.s. melainkan beberapa tempat sahaja ia bermakna `Hari Kebangkitan /Pembalasan' bila ia disandarkan kepada perkataan lain seperti `yawm" (hari) (Lihat Sheikh Muhammad Fu`ad `Abd al-Baqi, al-Mu`jam al-Mufahras li Alfaz al-Qur'an al-Karim, Dar al-Hadith, Kaherah, cet. ke-3, 1991). Oleh yang demikian, mengatakan ayat 256 Surah al-Baqarah itu meliputi semua agama secara umum adalah satu tafsiran yang menyeleweng dan lari daripada kehendak Allah s.w.t. dalam ayat-ayat lain yang jelas memaksudkan perkataan `al-Din' itu sebagai Islam. Jadi kaedah keumuman hukum yang mereka pakai itu tiada kena mengena dengan tafsiran al-Baqarah: 256 tersebut.

Kesimpulannya, ayat 256 Surah al-Baqarah itu tidak bercanggah dengan perintah (hadis) membunuh si murtad yang telah mencabul kehormatan Islam dengan menghebohkan kemurtadannya kepada orang lain. Mendakwa ayat tersebut bercanggah dengan hadis sahih berkenaan hukum murtad adalah satu dakwaan yang lemah, lebih lemah daripada sarang labah-labah. Oleh kerana kemasukan seseorang itu ke dalam Islam adalah berdasarkan keredhaan dan keikhlasan hati sendiri tanpa paksaan sesiapa, maka tidak timbul persoalan menyekat kebebasannya untuk keluar daripada Islam, sebaliknya persoalan yang timbul ialah pencabulan kehormatan Islam dan penghinaan kepada penganutnya yang beriltizam. Dengan ketegasan hukum murtad ini, seseorang itu tidak akan berani untuk menyamar memeluk Islam, sebaliknya yang memeluk Islam itu semuanya berdasarkan kefahaman yang jelas dan keikhlasan hati yang tulus. Penganut yang ramai tanpa kualiti dengan membawa sifat nifaq dan kepura-puraan tidak menguntungkan Islam, sebaliknya akan membawa fitnah kepada Islam dan merosakkannya dari dalam.